POLISI MEDIA
9.0 PEMASARAN MEDIA DAN BERITA
Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat bertanggungjawab terhadap penulisan dan penyebaran berita serta bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pengurusan media untuk menyokong strategi pemasaran universiti.
Antara peranan Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat selari dengan klausa 9.1, ialah menyokong promosi universiti melalui aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan iaitu:
- mengurus dan menyediakan kenyataan media dalam laman web
- melaksanakan rancangan promosi melalui media
- menawarkan khidmat nasihat kepada fakulti, institut, pusat dan Pusat Tanggungjawab (PTj) yang lain terhadap isu-isu yang boleh memberi kesan terhadap imej dan reputasi PTj (isu-isu yang berpotensi mendapat liputan media)
- memantau saluran media, menilai dan melaporkan kepada universiti terhadap bahan-bahan yang diterbitkan
- mewujudkan perhubungan berkesan dengan pihak media tempatan dan antarabangsa
- membantu mana-mana staf universiti mengenai kaedah menulis pandangan dan kritikan yang tepat dan berkesan
- membantu staf universiti dalam membuat persediaan temubual bersama media termasuk memberikan latihan dan membuat pemantauan
- menulis dan menilai kenyataan media
- memantau prestasi dan kesan promosi melalui media terhadap universiti
- membantu pengurusan kes kontroversi atau isu sensitif yang melibatkan media (pengurusan krisis komunikasi)
Bagi melicinkan pelaksanaan tanggungjawab dalam klausa 9.2 di atas, Naib Canselor boleh membenarkan staf universiti memberi kenyataan kepada media, atau memetik pernyataan di atas kapasiti portfolio atau kepakaran mereka, bertujuan menyokong promosi melalui media (contoh iklan) atau aktiviti pemasaran universiti. Walaubagaimanapun, kebenaran yang diberikan oleh Naib Canselor tersebut tidak akan melepaskan kakitangan universiti untuk mematuhi Peraturan 18, Jadual Kedua, Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605].
Ketua PTj bertanggungjawab memaklumkan kepada Naib Canselor atau Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat mengenai sebarang aktiviti termasuk aktiviti yang berpotensi menarik perhatian media yang dilaksanakan di peringkat PTj masing- masing;
Dalam membangunkan dan menyelaras promosi melalui media, Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat bertanggungjawab melaksanakan penilaian secara berterusan terhadap nilai berita universiti.
Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat juga bertanggungjawab memastikan liputan media dibuat secara menyeluruh terhadap Fakulti dan Institut yang menawarkan program pengajian dan menjalankan aktiviti penyelidikan.