POLISI MEDIA
4.0 PERNYATAAN AWAM
Objektif utama universiti ialah untuk mewujudkan, mengembang dan menyebarluaskan pengetahuan kepada masyarakat. Justeru, perhubungan media dengan kakitangan universiti perlu dilaksanakan dengan konsisten, menggunakan kaedah dan cara komunikasi yang lebih profesional supaya universiti dapat menyalurkan ilmu pengetahuan kepada masyarakat terutamanya berkaitan penemuan baharu melalui aktiviti penyelidikan dengan lebih berkesan;
Kakitangan universiti perlu memahami, menghayati dan mematuhi peraturan membuat pernyataan awam dan larangan bertindak sebagai seorang penyunting, dan sebagainya, dalam mana-mana penerbitan seperti terkandung di dalam Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surjac) 2000 [Akta 605]:
Membuat Pernyataan Awam
Peraturan 18, Jadual Kedua, Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surjac) 2000 [Akta 605] menyatakan bahawa;
18 (1) Seseorang pegawai tidak boleh, sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain –
-
- membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memudaratkan apa- apa dasar, rancangan atau keputusan badan berkanun atau kerajaan tentang apa-apa isu;
- membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan nama badan berkanun atau kerajaan;
- membuat apa-apa ulasan tentang kelemahan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan badan berkanun atau kerajaan;
- mengedarkan apa-apa pernyataan atau ulasan, samada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain.
18 (2) Seseorang pegawai tidak boleh, samada secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain –
-
- membuat apa-apa ulasan tentang kelebihan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan badan berkanun atau kerajaan;
- memberikan apa-apa maklumat berdasarkan fakta berhubung dengan perjalanan fungsi badan berkanun;
- memberikan apa-apa penjelasan berkenaan dengan apa-apa peristiwa atau laporan yang melibatkan badan berkanun atau kerajaan; atau
- menyebarkan apa-apa ulasan, maklumat atau penjelasan sedemikian sama ada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain, melainkan jika kebenaran bertulis, sama ada secara am atau khusus, telah diperoleh terlebih dahulu daripada Menteri.
(3) Subperaturan (2) tidaklah terpakai bagi apa- apa ulasan, maklumat atau penjelasan yang dibuat, diberikan atau disebarkan jika kandungan ulasan, maklumat atau penjelasan itu telah diluluskan oleh Menteri.
(4) Bagi maksud peraturan ini, “pernyataan awam” termasuklah apa-apa pernyataan atau ulasan yang dibuat kepada pihak akhbar atau orang ramai atau semasa memberikan apa-apa syarahan atau ucapan awam atau dalam apa- apa penyiaran atau penerbitan, tanpa mengambil kira caranya.
4.4 Larangan Bertindak Sebagai Seorang Penyunting, Dan Sebagainya, Dalam Mana-Mana Penerbitan
Peraturan 19, Jadual Kedua, Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605] menyatakan;
19 Seseorang pegawai tidak boleh bertindak sebagai penyunting bagi, atau mengambil bahagian secara langsung atau tidak langsung dalam pengurusan, atau dengan apa-apa cara membuat apa-apa sumbangan kewangan atau selainnya kepada, mana-mana penerbitan, termasuk mana- mana surat khabar, majalah atau jurnal, tanpa mengambil kira cara surat khabar, majalah atau jurnal itu diterbitkan, kecuali penerbitan yang berikut:
-
- penerbitan jabatan;
- penerbitan profesional
- penerbitan organisasi sukarela yang tidak bercorak politik; dan
- penerbitan yang diluluskan secara bertulis oleh Ketua Pengarah bagi maksud peraturan ini.
Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605], Peraturan 18 dan 19, memperuntukan larangan yang jelas kepada pegawai awam terhadap pernyataan awam dan larangan bertindak sebagai seorang penyunting, dan sebagainya, dalam mana-mana penerbitan. Oleh itu, kakitangan universiti hendaklah bertanggungjawab terhadap pernyataan awam yang dibuat dan hendaklah memastikan pernyataan awam tersebut tidak mempunyai kepentingan peribadi, tidak bersifat diskriminasi, tidak menyentuh dasar kerajaan, tidak menyentuh dasar universiti, tidak menghina mana-mana individu, tidak menjatuhkan maruah individu atau institusi, tidak menyentuh sensitiviti mana-mana agama, adat dan budaya, dan sentiasa konsisten dengan arahan membuat pernyataan awam;
Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat bertanggungjawab menyokong, menasihat dan membantu kakitangan universiti untuk berhubung secara efektif dan profesional dengan pihak media supaya pernyataan awam atau perhubungan yang dibuat dengan media tidak melanggar Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605];