POLISI MEDIA

11.0 JURUCAKAP UNIVERSITI

Naib Canselor Sebagai Jurucakap Utama Universiti

Naib Canselor merupakan Jurucakap Universiti Yang Utama terhadap perkara- perkara yang berkaitan urus tadbir, pelan strategi dan pengurusan universiti. Naib Canselor mempunyai keutamaan dalam semua komunikasi media dan boleh melaksanakan sebarang kuasa yang diperuntukan di bawah polisi ini.

Timbalan Naib Canselor Sebagai Jurucakap Rasmi Universiti

Timbalan Naib Canselor yang dilantik oleh Naib Canselor sebagai Jurucakap Rasmi Universiti dan diberi kuasa oleh Naib Canselor untuk menyampaikan pendirian universiti terhadap isu-isu korporat yang mempunyai impak terhadap universiti atau isu yang signifikan dengan portfolio masing-masing atau situasi yang berkaitan kontroversi atau isu-isu sensitif yang berlaku di dalam universiti (terutamanya yang berkaitan dengan portfolio).

Pengarah Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat Sebagai Jurucakap Rasmi Universiti

Pengarah Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat dilantik oleh Naib Canselor sebagai Jurucakap Rasmi Universiti dan diberi kuasa oleh Naib Canselor, untuk menyampaikan maklumat aktiviti universiti atau menyampaikan pendirian universiti terhadap isu-isu yang berkaitan kontroversi atau isu-isu sensitif yang berlaku di dalam universiti. Bagaimanapun, sebarang kenyataan secara bertulis atau lisan yang dikeluarkan hendaklah berunding dan mendapat persetujuan daripada Naib Canselor terlebih dahulu. Pengarah Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat boleh memohon Timbalan Naib Canselor atau pegawai- pegawai kanan universiti untuk memberi maklumat yang berkaitan bagi mengurus isu-isu berkaitan kontroversi atau pengurusan krisis komunikasi.

Jurucakap

Naib Canselor boleh memberi kuasa sama ada secara lisan atau bertulis kepada mana-mana kakitangan universiti yang lain (contoh: Pendaftar, Dekan Fakulti, Pengarah Institut, Ketua Pejabat Hal Ehwal Pelajar) bertindak sebagai Jurucakap bagi pihak universiti terhadap isu-isu umum atau isu- isu spesifik yang berkaitan dengan portfolio masing-masing.

Perhubungan Media

Tertakluk kepada perkara di atas, Jurucakap Rasmi Universiti diberi kuasa untuk berhubung dengan media atau memberikan kenyataan media setelah mendapat nasihat daripada Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat, tanpa kelulusan lanjut daripada Naib Canselor terhadap perkara-perkara yang mana Naib Canselor telah memberi kuasa tertentu terhadap kedudukan mereka, samada secara lisan atau pun bertulis.

Sekiranya Naib Canselor tidak memberi kuasa tertentu yang berkaitan dengan kedudukan masing-masing, Jurucakap Rasmi Universiti perlu berunding dengan Naib Canselor terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan kepada media.

Dalam kes krisis komunikasi tertentu, di mana komunikasi dengan Naib Canselor tidak dipraktikkan di bawah klausa 11.6, Jurucakap Rasmi Universiti perlu berbincang dengan Pengarah Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat sebelum membuat kenyataan kepada media.

Pertanyaan daripada media tentang hal ehwal korporat universiti, perlu merujuk kepada Pengarah Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat terlebih dahulu. Pengarah Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat akan menyelaras penyebaran maklumat korporat berkaitan atau menamakan pegawai bertanggungjawab setelah berunding dengan Naib Canselor.

Semua isu atau krisis yang melibatkan perundangan, Jurucakap Rasmi Universiti atau Jurucakap Universiti perlu mendapatkan nasihat atau pandangan terlebih dahulu daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang.

Terma rujukan terhadap Jurucakap Rasmi Universiti hanya untuk tujuan polisi ini sahaja dan jawatan ini tidak rasmi digunakan oleh mana-mana pegawai lain dalam perhubungan media melainkan diberi kelulusan oleh Naib Canselor atau pegawai yang diberi kuasa oleh Naib Canselor.

12.0 PELANGGARAN POLISI

Mana-mana kakitangan universiti yang tidak mematuhi polisi ini dan memberikan kesan negatif kepada reputasi dan kepentingan universiti, maka kakitangan berkenaan boleh diambil tindakan di bawah Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605].