POLISI MEDIA

10.0 KOMUNIKASI KORPORAT

Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat bertanggungjawab membantu Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor dan pegawai-pegawai utama universiti dengan memberikan nasihat strategik terhadap reputasi korporat dan imej universiti, termasuk menyelaras strategi komunikasi, membantu pengurusan isu-isu kritikal dan aktiviti komunikasi yang berkaitan.

Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat juga bertanggungjawab membantu Naib Canselor dalam melaksanakan operasi komunikasi korporat seperti berikut:

  • merancang dan melaksanakan komunikasi korporat dan perancangan media
  • menulis kenyataan media, ucapan, dan cadangan pendapat untuk pernyataan awam
  • mengadakan temuduga dan sidang media
  • mewujudkan dan mengekalkan hubungan efektif dengan media tempatan dan antarabangsa terutamanya yang berkaitan dengan matlamat komunikasi korporat Naib Canselor
  • memantau hasil aktiviti komunikasi yang berkaitan dengan matlamat universiti
  • membantu pengurusan isu kritikal atau krisis komunikasi
  • membantu jurucakap rasmi universiti berkaitan perkara- perkara di atas.

Semasa melaksanakan pengurusan isu-isu kritikal atau krisis Komunikasi, Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat boleh mendapatkan maklumat secara terus (contoh data, laporan dan sebagainya) daripada PTj berkenaan bagi membantu persediaan pernyataan awam untuk Naib Canselor atau mana-mana Jurucakap Rasmi Universiti yang diberi kuasa oleh Naib Canselor. Semua Ketua PTj hendaklah memberi kerjasama dan memastikan maklumat yang disediakan adalah tepat, jelas dan tidak mempunyai sebarang keraguan;

Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat akan membuat semakan terlebih dahulu dan mendapatkan kelulusan daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang mengenai apa-apa isu atau pernyataan semasa mengendalikan krisis komunikasi dalam universiti sebelum disebarkan kepada pihak media atau mana-mana pihak luar.

Ketua PTj bertanggungjawab memaklumkan kepada Naib Canselor atau Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat mengenai sebarang isu atau peristiwa yang berlaku di PTj masing-masing yang boleh menjejaskan reputasi dan kepentingan universiti.